Wednesday, November 24, 2010

Sifat membanding-bandingkan membawa kepada sifat tercela

Bila dah nak dekat-dekat hujung tahun ini,
banyak la undangan ke majlis perkahwinan yang kita terima...
hujung tahun dah stat cuti sekolah...
Bakal mempelai ambil kesempatan ini
untuk melangsungkan hari bahagia mereka....

Firman Allah dalam surah yassin ayat 36:
"Maha suci Allah yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan, baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka sendiri, mahupun dari apa yang mereka tidak ketahui"

Alam in diciptakan berpasang-pasang, bukan sahaja malam dan siang, langit dan bumi, haiwan dengan pasangannya,tumbuh-tumbuhan, manusia juga tidak terkecuali.

Allah juga berfirman dalam surah ar-rum ayat 21:
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya,dan kamu menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh pada yang demikian itu benar-benar terdapat (tanda-tanda kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir."

Maka, dapat dilihat dari kalam Allah ini bahawa untuk mencapai kebahagiaan dalam hidup berpasangan itu adalah melalui sesebuah perkahwinan. Perkahwinan yang dicipta atas dasar cinta dan agama, yang diharap bertahan sehingga ke akhir hayat. Jika kita buat satu penelitian terhadap majlis perkahwinan yang pernah dilangsungkan di sekeliling kita, kita dapat lihat bahawa kebanyakannya meletakkan jumlah hantaran yang tinggi, mas kahwin yang tinggi, majlis yang berlebih-lebihan. Adakah ini yang dituntut dalam Islam?
Ada yang membandingkan jumlah hantaran dengan hantaran majlis perkahwinan yang lain, ada yang meletakkan mas kahwin berdasarkan pada pendidikan. Kalau yang ada degree,hantarannya 8K. yang ada master, hantarannya 10K. Tidakkah ini bakal menimbulkan masalah bagi pihak lelaki yang bakal memimpin keluarga di alam yang baru? Tidakkah ini menimbulkan rasa takut bagi kaum adam yang ingin mendirikan rumah tangga dengan insan yang dicintai?

Kembali kepada matlamat perkahwinan. Sesebuah perkahwinan itu didirikan atas dasar ingin mendapatkan ketenangan dan kebahagiaan dengan pasangan yang ditentukan oleh Allah swt. Sementara itu majlis walimatulurus yang diadakan adalah bertujuan untuk menghebahkan kepada masyarakat sekeliling tentang ikatan sah satu-satu pasangan untuk mengelakkan fitnah masyarakat. Jika kita lihat situasi hari ini, majlis pertunangan itu sendiri dihebah-hebahkan, malah dilakukan secara besar-besaran. Situasi masyarakat hari ini yang hampir lupa pada matlamat asal sesebuah majlis perkahwinan, menggalakkan diri bersaing dalam mengadakan majlis perkahwinan yang besar-besaran, meriah, hantaran kahwin yang tinggi. Kita tidak juga dapat menyalahkan sesuatu pihak atas situasi ini. Kebanyakannya menganjurkan sesebuah majlis mengikut adat tradisi kaum. Tetapi adakah adat yang menyebabkan masyarakat hari ini berbangga dalam mengadakan majlis perkahwinan?

Jika diteliti kembali, adat tidaklah begitu membebankan. Kita sendiri dapat melihat perbezaan antara perkahwinan tradisional dan perkahwinan moden kini. Kalau dulu, majlis perkahwinan tidaklah begitu besar-besaran. Hanya sekadar menghebahkan ikatan ijab kabul dan bersedekah. Kemeriahan majlis tersebut diukur pada lancarnya acara pernikahan kedua-dua mempelai. Berbeza dengan perkahwinan moden, kemeriahan itu diukur pada kemewahan sesuatu majlis, hiburan sepanjang majlis, keindahan pelamin, kecantikan pengantin. Betul kan?

Apabila difikirkan kembali, sebenarnya situasi ini berpunca dari diri kita sendiri. Mungkin anda yang membaca tertanya-tanya bagaimana. Dalam sedar tidak sedar, kita sebenarnya kerap kali membanding-bandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Membandingkan jumlah hantaran, membandingkan kemewahan, membandingkan kecantikan. Seolah-olah kita bermegah-megah dalam berbuat sesuatu. Membuat perbandingan dengan majlis yang sebelumnya supaya majlis yang bakal dilangsungkan menjdai bualan ramai, dan ingin menunjukkan kemewahan dan keindahan sesebuah majlis. Bukan sahaja dari pihak penganjur perkahwinan, malah hal ini berlaku jua dalam kalangan tetamu yang hadir.... Tengah-tengah menjamu selera, "Banyaknya lauk,sedap pulak tuh. Mesti orang ni banyak duit kan?" Semasa pengantin bersanding di atas pelamin, "Kenapa diorang pakai baju warna tuh? Tak matching la dengan pelamin. Masa anak si K kahwin, lagi cantik dari ni." Dalam tengah-tengah majlis, "Apasal tuan rumah tak panggil dj ke, pasang lagu ke, ada tarian ke? Ish. Suram la macam ni. Tak meriah je."

Pernah tak berlaku sebegini? Secara tidak langsung kita membandingkan majlis tersebut dengan majlis yang lebih grand dan memperlekehkan pihak tuan rumah. Kalau diikutkan apa yang pihak tuan rumah lakukan sebenarnya tidak ada langsung kaitannya dengan kita. Biarlah baju pengantin tidak cantik di mata kita, namun mungkin cantik pada pandangan pasangan mempelai. Biarlah wang hantarannya tidaklah begitu sesuai bagi perempuan yang berkelulusan luar negeri, namun bagi pengantin lelaki, hantaran itu hanyalah hadiah semata-mata bukan kayu pengukur kebahagiaan rumah tangganya di kemudian hari. Sifat membanding-bandingkan menjerumuskan diri kita kepada mencela orang lain dan berlakunya riak dalam diri apabila berjaya menyaingi orang lain dan bermegah-megah dengan apa yang kita ada. Memperlekehkan orang lain, membuat ulasan negatif terhadap orang sekeliling, mempersoalkan apa jua yang disediakan oleh tuan rumah biarpun tidak ada cacat celanya.

Dalam Al-Quran, Allah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud,
"Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti orang-orang yang beriman tanpa kesalahan yang mereka buat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata."

Sesungguhnya aku menyeru diri aku sendiri supaya tidak membanding-bandingkan,bukan sahaja membanding-bandingkan sesebuah majlis perkahwinan malah perkara yang lain supaya tidak terjerumus kepada sifat tercela.

Itu sahaja dari diri ini. Yang baik semuanya dari Allah, yang kurang datang dari hamba Allah yang lemah ini..

Wallahualam..

3 reader's comment(s):

Apesal.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...