Thursday, February 10, 2011

Jika cintamu pada Nabi seperti cintamu pada air sejuk



Dengan wajah muram seorang murid bersimpuh di hadapan syeikhnya. Sang syeikh dengan wajah dan suara berwibawa bertanya kepadanya, "Apakah gerangan merisaukanmu?"


"Wahai syeikh, sudah lama aku ingin melihat wajah Nabiku walau hanya lewat mimpi. Namun, sampai sekarang keinginanku belum juga terkabul,"jelas si murid.


"Ooo... rupanya itu yang kau inginkan.Tunggu sebentar...," Sang Syeikh mengeluarkan pena, kemudian menuliskan sesuatu untuk muridnya. "Ambil ini dan bacalah setiap hari seribu kali, Insya-Allah kau akan bertemu Nabimu," ujar Sang Syeikh.


Dengan wajah berseri pulanglah si murid membawa catatan itu. Namun setelah beberapa minggu, kembalilah si murid ke rumah syeikhnya memberitahukan bahawa bacaan yang diberikan Tuan Syeikh itu tidak menghasilkan apa-apa. Sang syeikh segera memberikan bacaan lain. Namun, beberapa minggu kemudian, muridnya kembali dengan lesu memberitahukan bahawa bacaan itu pun masih belum menghasilkan apa-apa.


Setelah diam beberapa saat, berkatalah sang syeikh,"Nanti malam datanglah engkau ke mari. Aku mengundangmu makan malam." Sang murid mengangguk kemudian pulang ke rumahnya. Setelah tiba saatnya, pergilah dia ke rumah sang syeikh bagi memenuhi undangannya. Dia merasa hairan melihat syeikhnya hanya menghidangkan ikan masin sahaja.


"Makan, makanlah semua ikan itu. Jangan sisakan sedikit pun!" kata sang syeikh kepada muridnya.


Disebabkan dia tergolong dalam kalangan murid yang taat, maka dia menghabiskan semua ikan masin yang ada. Selesai makan, dia merasa kehausan yang luar biasa kerana memang ikan masin membuat orang mudah kehausan Dia segera meraih segelas air dingin yang ada di hadapannya.


"Letakkan kembali gelas itu!"perintah sang syeikh. "Kau tidak boleh minum air itu hingga esok pagi, dan malam ini kau tidur di rumahku!" arah sang syeikh lagi.


Dengan penuh rasa hairan, si murid menuruti perintah syeikhnya. Malam itu dia tidak dapat tidur. Leherny terasa tercekik kerana kehausan. Dia membolak-balikkan badannya, hingga akhirnya dia tertidur kerana kelelahan. Apa yang terjadi? Malam itu dia bermimpi, syeikhnya menghulurkan segelas air sejuk. Setelah minum, dia terjaga dari tidurnya. Mimpi itu sangat nyata. Seakan-akan benar-benar terjadi kepadanya.


"Apa yang kau mimpikan?" tanya sang syeikh yang berdiri tidak jauh darinya.
"Syeikh, aku tidak memimpikan Nabiku, aku mimpi minum air!" jelas si murid.


Tersenyumlah sang syeikh mendengar jawapan muridnya. Kemudian dengan bijaksana ia berkata, "Jika cintamu pada Nabi seperti cintamu pada air sejuk itu, nescaya kau akan memimpikannya."


Menangislah si murid. Dia baru sedar ternyata dalam hatinya belum cukup rasa cinta kepada Nabi. Dia masih lebih mencintai dunia daripada Nabi. Masih banyak meninggalkan sunahnya. Dia masih lebih mencintai air.






~Qasidah untuk kekasih~

2 reader's comment(s):

marcoyuusuke said... [Reply to comment]
This comment has been removed by a blog administrator.
soooooour said... [Reply to comment]

nice one!..muhasabah diri...

Apesal.com

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...